← Back to list

Ustaz Juga Sama Macam Manusia Lain

Esei ini bukanlah untuk mempertahankan golongan ustaz, tetapi lebih kepada keinginan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap satu…

Sadiq Salihoddin · 2024-02-16 18:09 · 2 claps · 4.9 min read
#ustaz #penunggang-agama #pengajian-islam
Open on Medium ↗
Wiki topics: 🕊️ · Religion

Ustaz Juga Sama Macam Manusia Lain

Kuliah Subuh di Masjid Nahdatuddiniah, Kg. Malaysia Tambahan

Kuliah Subuh di Masjid Nahdatuddiniah, Kg. Malaysia Tambahan

Esei ini bukanlah untuk mempertahankan golongan ustaz, tetapi lebih kepada keinginan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap satu golongan yang digelar sebagai “ustaz”.

Sebelum anda mempersoalkan latar belakang saya, saya merupakan lepasan Diploma Pengajian Islam dari Universiti Sultan Azlan Shah. Sekarang pun saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang Filologi Melayu dan Sastera Melayu Islam, mengkaji satu naskhah fikah. Saya bukanlah pakar, tetapi tidaklah keterlaluan untuk dikatakan bahawa saya mempunyai kefahaman tentang asas-asas pengajian Islam. Saya pun pernah beberapa kali dijemput untuk berceramah tentang topik-topik keagamaan seperti pengenalan kepada syariah, kepentingan bulan ramadan dan sebagainya. Saya hanya mampu berkongsi tentang hal-hal yang fundamental sahaja.

Definisi Ustaz

Ustaz dalam esei ini didefinisikan sebagai seseorang yang berlatarbelakangkan pengajian Islam lalu menjadi rujukan masyarakat dalam hal ehwal agama. Jadi, tidak timbullah persoalan ustaz sekolah, ustaz tadika dan sebagainya. Ustaz yang saya maksudkan di sini ialah ustaz yang layak mengajar masyarakat secara umum tentang agama. Contoh ustaz ialah Ustaz Don, Ustaz Abdullah Khairi dan sebagainya. Ustaz yang saya maksudkan ialah golongan seperti mereka ini.

Ustaz ialah seseorang yang berlatarbelakangkan pengajian Islam lalu menjadi rujukan masyarakat dalam hal ehwal agama.

Ustaz? Tiada Apa yang Istimewa Pun

Marilah kita masuk kepada inti perbincangan: Ustaz adalah sama sahaja seperti orang lain. Mereka menjalani pengajian yang tidaklah berbeza dengan orang lain. Sebagai contoh, adakah anda pernah terjumpa dengan pelajar daripada program sains komputer, undang-undang atau lain-lain yang malas belajar? Mereka lulus pun cukup-cukup makan sahaja. Mereka membaca sangatlah jarang. Mereka hanya membuka buku ketika hendak menghadapi ujian sahaja. Ketahuilah, pelajar-pelajar malas dan lulus cukup-cukup makan ini ada dalam lingkungan pengajian Islam. Tetapi, yang saya sedih ialah mereka ini nantinya akan digelar sebagai ustaz. Dengan apa lagi mereka hendak cari makan? Semestinyalah dengan menjadi ustaz.

Ada seorang rakan sekelas saya dahulu, sewaktu pengajian dia sangatlah teruk. Kelas pun jarang hadir. Tugasan pun tak buat. Bahkan, dia pernah terpalit dengan isu menciplak tugasan orang lain. Kononnya hendak meminjam tugasan seseorang untuk dijadikan rujukan, tetapi sebaliknya yang berlaku. Dia menukar nama orang itu kepada namanya lalu menghantar tugasan tersebut dengan pengakuan bahawa itu merupakan tugasan yang dia lakukan sendiri. Tahukah anda, apakah perkembangannya sekarang? Dia merupakan seorang ustaz yang aktif memberi kuliah di masjid. Saya sendiri pernah menonton kuliahnya di YouTube. Sesuailah dengan sifatnya yang tidak hadir ke kelas dan tidak menyiapkan tugasan, kuliah yang disampaikan hanyalah superfisial. Tiada apa yang istimewa pun. Tetapi, kenapa individu sepertinya boleh dijemput untuk memberi kuliah di masjid? Pandangan saya, mudah sahaja, kerana dia ada keupayaan untuk memetik ayat-ayat al-Quran dan hadis seolah-olah menampakkan dirinya sebagai sarjana Islam. Itu pun, ayat-ayat yang dipetik bukanlah yang sulit dalam kalangan pelajar-pelajar pengajian Islam, sebaliknya ayat-ayat yang asas sahaja. Tetapi, masyarakat mudah terpesona, apatah lagi ditambah dengan lagu. Masyarakat sangat suka dengan golongan ustaz yang mampu bertaranum, bernasyid dan sebagainya. Sedangkan, yang jauh lebih penting adalah inti kepada kuliah, bukan hiasannya.

Kemahiran bercerita, bertaranum dan lain-lainnya ini, bukanlah inti kepada sesuatu kuliah, tetapi penghiasnya sahaja.

Saya mengusulkan: Masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa ustaz bukanlah satu golongan yang lebih tinggi martabatnya berbanding orang lain. Implikasi daripada ini juga, saya mengusulkan lagi satu perkara: Masyarakat perlu diajarkan cara berfikir yang baik, terutama sekali dalam mengenal pasti mana satu yang betul-betul ustaz dan mana satu yang hanyalah “pencerita”. Pada pandangan peribadi saya, ramai individu yang dipanggil ustaz, tetapi mereka ini hanyalah pencerita. Saya tidak mahu menyebut nama kerana mereka ini rata-ratanya selalu timbul dalam program agama di televisyen. Kenapa saya berkata sedemikian? Ternyata, ini bukanlah kerana cemburu. Tetapi, saya hendak berlaku amanah dengan ilmu saya. Kalau tidak ada bukti yang menunjukkan seseorang itu layak digelar sebagai ustaz, maka saya tidak akan memanggilnya ustaz.

Tiga Tanda Seseorang itu Bukan Ustaz

Pertama, tiada latar belakang langsung dalam pengajian Islam, sebaliknya hanya cerita-cerita peribadi yang dia pernah mengaji dengan tok guru itu dan ini. Walhal, cara dia menyampaikan kuliah tidak menunjukkan langsung dia menguasai kitab yang dia sendiri mengaku dia mengaji. Kitab tulis lain, dia sebut lain. Bukan sekadar ini, cara dia memetik ayat-ayat daripada kitab pun menunjukkan yang dia tidak pernah baca. Antaranya, dia gagal untuk memetik sesuatu ungkapan secara konteksual. Sebaliknya, memetiknya secara literal untuk menyokong dakwaannya. Ini sungguh melucukan kerana seseorang yang benar-benar menguasai satu kitab tidak akan terlepas daripada konteks-konteks yang dibincangkan. Jadi, layakkah orang begini dipanggil ustaz?

Kedua, lebih berjenaka daripada ilmu. Sesetengah orang berpandangan: Golongan ustaz yang menyampaikan kuliah mestilah pandai berjenaka supaya dapat menarik minat jemaah. Saya berpandangan: Niat untuk menarik minat itu bagus, tetapi janganlah ia mengatasi tujuan sebenar kuliah itu disampaikan, iaitu ilmu. Ilmu yang hendak disampaikan adalah untuk menerbitkan keinsafan, bukannya hanya bergelak ketawa. Contohnya, soalan berselimut secara telanjang antara suami isteri ditanyakan oleh seorang kanak-kanak kepada Ustaz Azhar Idrus baru-baru ini. Secara asasnya, tidak ada masalah untuk bertanya. Tetapi, saya melihat, pertanyaan itu memberi kita mesej yang tersirat, iaitu ada daripada golongan jemaah yang tidak mengambil serius dengan ilmu. Mereka bertanya hanya untuk sama-sama bergelak ketawa sahaja. Sedangkan, kita sudah faham bahawa aurat antara suami dan isteri itu tidak ada. Maka, kenapa soalan berselimut secara telanjang dipertanyakan? Tidak cukupkah dengan konsep “suami dan isteri tidak ada aurat”? Saya berandaian, ini hanyalah untuk berjenaka. Ini pun selari dengan gaya penyampaian kuliah oleh Ustaz Azhar Idrus sendiri. Saya kira, tidak logik langsung sekiranya seorang kanak-kanak yang bertanya soalan sebegitu kerana benar-benar ingin tahu. Langsung tak masuk akal. Ini menunjukkan adanya pengaruh kepada dia. Apabila kuliah itu disampaikan dengan jenaka, lama-kelamaan jemaah akan mula tidak lagi serius. Ini akan memberi kesan kepada kanak-kanak yang akhirnya mereka akan beranggapan bahawa bolehnya untuk berjenaka sedemikian rupa dalam satu majlis ilmu. Fikir-fikirkanlah.

Ketiga, mereka takut untuk berbincang dengan ilmuwan. Sifat ilmuwan yang sebenar adalah mereka sentiasa terbuka untuk berbincang. Ada sesetengah ustaz, mereka enggan dikritik. Apabila dikritik sahaja, mereka mula melenting. Yang mengkritik mereka itu pula bukannya kanak-kanak yang baru tahu tentang hukum berselimut secara telanjang antara suami isteri, tetapi golongan profesor pengajian Islam dan seumpamanya. Inilah sebab saya amat menentang golongan yang lulus cukup-cukup makan untuk dijadikan contoh kepada masyarakat. Mereka tidak biasa dengan kerja-kerja ilmiah dan ini membuatkan mereka semacam terkejut bilamana dikritik oleh golongan intelektual. Mereka pun tidak mampu untuk berbalas hujah, sebaliknya menuduh pengkritiknya sebagai Wahabi. Inilah golongan ustaz segera. Mereka hanya pandai bernasyid dan membuat siaran langsung di Instagram untuk menyapa peminat. Tidak ada nilai ilmu langsung. Layakkah mereka ini digelar sebagai ustaz?

Akhir Kalam

Mungkin anda terkejut kerana baru-baru ini banyak kes ustaz meliwat anak murid, ustaz merogol dan sebagainya. Pada saya? Tidak pelik langsung. Sebab, awal-awal lagi saya sudah berpendirian: Golongan ustaz ini tidak istimewa pun. Mereka sama sahaja seperti orang lain. Ada pelajar yang cemerlang dan ada pelajar yang sangat teruk, jadi samalah seperti pelajar pengajian Islam. Ada dalam kalangan mereka yang sangat teruk pencapaian akademiknya, tetapi nantinya mengajar masyarakat tentang agama. Ada pula dari kalangan mereka yang memegang jawatan besar dalam parti Islam sebagai ulama muda.

Isu lepasan al-Azhar yang bermasalah pun disuarakan oleh lepasan al-Azhab sendiri seperti Ustaz Syed Shahriman Syed Ali dalam bukunya Aku, Buku & Kota Kaherah: Kembara Sang Pencinta Buku dan Ustaz Syihabudin Ahmad dalam artikelnya Fakta Yang Menyedihkan Tentang pelajar al-Azhar.

Jadi, adakah saya hendak memburukkan lepasan pengajian Islam? Sekali lagi saya tegaskan: Tidak. Saya hanya mahu anda faham bahawa ustaz adalah sama sahaja seperti orang lain. Titik.


메타데이터
post_id
1ded515bade7
slug
ustaz-juga-sama-macam-manusia-lain-1ded515bade7
url
https://medium.com/@sadiqsalihoddin/ustaz-juga-sama-macam-manusia-lain-1ded515bade7
canonical_url
https://medium.com/@sadiqsalihoddin/ustaz-juga-sama-macam-manusia-lain-1ded515bade7
author_url
https://medium.com/@sadiqsalihoddin
status
ok
fetched_at
2026-07-24 10:10:23