Komen sebelum baca: Kajian-kajian ini membongkar sikap pengguna media sosial
Baru sahaja tadi, saya menonton satu video, seorang guru sains sedang menjelaskan mengapa kita tidak digalakkan untuk menggunakan air laut…
Komen sebelum baca: Kajian-kajian ini membongkar sikap pengguna media sosial

Baru sahaja tadi, saya menonton satu video, seorang guru sains sedang menjelaskan mengapa kita tidak digalakkan untuk menggunakan air laut untuk memadamkan api sekiranya berlaku kebakaran.
Jawab guru tersebut, kerana kandungan garam dalam air laut itu boleh menjejaskan tanah daripada kesuburan. Jadi, tidak boleh lagi menanam pokok dan sebagainya, sebab itulah kita tidak digalakkan untuk menggunakan air laut untuk memadamkan api.
Penjelasan guru dalam video itu sangatlah mudah untuk difahami, tetapi adakah anda boleh mengagak apakah respons rata-rata rakyat Malaysia dalam video berkenaan?
“Palatao mamat ni…”
“Garam menyebabkan tanah tak subur, tinggal ilmu dia ni…”
Rata-rata komen kecaman dan sindiran. Ini menunjukkan budaya yang tidak sihat dalam kalangan rakyat kita. Tak akanlah begitu punya malas untuk mencari jawapan? ChatGPT sudah ada, Deepseek pun ada, kenapa malas sangat?
Itulah respons saya dalam hati ketika membaca satu satu komen. “Kenapa malas sangat?!”
Dalam satu artikel, pernah dibangkitkan persoalan ini ketika selatan California mengalami kebakaran yang dahsyat. Kenapa tidak digunakan sahaja air laut?
Pakar menjawab:
- Merosakkan peralatan bomba: Jikalau kita menerima idea itu, maka bomba haruslah menggunakan peralatannya untuk menyedut air dari laut lalu menyemburnya ke tempat yang terbakar. Tetapi, kandungan garam dalam air laut itu akan merosakkan besi peralatan bomba dalam erti kata mempercepatnya berkarat.
- Merosakkan tanah: Air laut akan merosakkan tanaman dan ini boleh membawa kepada kesan kekal, maknanya tidak akan ada lagi tanaman yang boleh hidup subur di tanah yang telah disiram dengan air laut.
Selebihnya, anda boleh membaca perihal ini dalam artikel berikut: Can California use ocean salt water to put out fires? Here are three key factors for L.A. firefighters.
“Teh tarik mana ada gula!”
Selain kes air laut, saya masih teringat, sebelum ini ada juga kes yang menaikkan darah saya apabila membaca komen-komennya.
Ada satu hantaran video di TikTok, seorang individu ini memaparkan seorang staf restoran mamak sedang membuat teh tarik. Individu itu lalu menjelaskan betapa bahayanya susu pekat yang digunakan dalam teh tarik kerana kandungan gulanya yang tinggi.
Tiba-tiba, bahagian komen pun banjirlah dengan kecaman yang seperti dalam video air laut sebelum ini.
“Tak pernah tengok pun mamak taruk gula ke dalam teh tarik?”
Komen-komen kecaman dan sindiran mendapat tanda suka yang paling banyak membuatkan komen-komen tersebut berada di paling atas dalam kotak komen.
Mengucap panjang saya membaca komen satu per satu. Saya tidak suka mencarut sekiranya seseorang itu benar-benar tidak tahu, tetapi tak akanlah ada manusia setolol ini?
Kalau ya pun tidak tahu, kenapa tidak dicari tahu dahulu sebelum menulis komen? Malu sekiranya kita bersikap menulis komen sebelum mencari tahu. Sangat malu. Nampak sangat sikap itu terbawa-bawa dari “gosip” di meja makan atau di pejabat.
Nampak lain sikit saja, mengata. Ada benda tak kena, mengata. Tidak ada langsung sifat ingin tahu!
Secara faktanya, kandungan gula dalam susu pekat boleh mencapai hingga 45%. Susu yang sebenar hanyalah 10% sahaja, selebihnya bahan-bahan lain seperti minyak dan sebagainya. Dari manakah saya tahu fakta ini? Mudah, cari sahaja di Google, anda akan peroleh jawapannya.
Tetapi, persoalan yang bermain dalam fikiran saya, mengapakah hal yang semudah ini pun ramai orang tidak boleh lakukan?
Sebagai pensyarah, saya cuba mencari jawapannya melalui jalan akademik.
Kongsi tanpa baca
- Berdasarkan penemuan awal, ada kajian yang menyimpulkan, 59% pengguna media sosial yang mengongsikan suatu link tidak membaca pun apa yang dikongsikannya.
- Kajian yang meninjau 35 pengguna Facebook menunjukkan 75% mengongsikan link suatu berita tanpa membacanya.
- Media sosial membuatkan kita terlebih yakin (overconfident). Artikel ini memetik satu kajian yang dilaksanakan oleh pengkaji dari Universiti Texas mendapati media sosial membuatkan kita terlebih yakin tentang ilmu kita walaupun kita tidak membaca pun apa yang dibahas dan dikongsikan.
- Kajian yang paling menyeluruh membincangkan fenomena ini ialah Joy Fabuluje (2025). Kajian ini meliputi hampir setiap media sosial yang paling ramai pengguna: Facebook, Instagram dan Twitter. Antara sebab mengapa rata-rata pengguna media sosial tidak membaca betul ialah (1) bias kognitif, (2) bias pengesahan, (3) kesan jangkar dan (4) kesan ikut-ikutan.
Nah, saya fikir, lebih baik saya kembangkan keempat-empat bias yang disebutkan di atas:
Bias dalam kalangan pengguna media sosial
- Bias kognitif (cognitive bias): Ini merupakan istilah payung bagi bias-bias yang lain. Secara umumnya, bias kognitif ialah cara berfikir yang tidak berdasarkan hujah logik, terkeluar dari induktif, deduktif, silogisme dan sebagainya. Contohnya, “susu pekat tidak ada gula”. Mengapakah ini bias? Kerana dakwaan tersebut langsung tidak bertapakkan bukti. Setiap proposisi/dakwaan dalam suatu hujah mestilah berasaskan bukti. Apakah faktanya?
- Bias pengesahan (confirmation bias): Kecenderungan untuk mentafsirkan suatu maklumat berdasarkan apa yang sudah dipercayai (meskipun ada bukti yang bercanggah dengan kepercayaan sendiri). Contoh mudah, teori konspirasi. Orang yang percaya tentang ratanya bumi ini tidak mengambil kira bukti-bukti kukuh yang saintifik, tetapi hanya bertumpu pada dalil-dalil lemah untuk menyokong kepercayaannya sahaja.
- Kesan jangkar (anchor effect): Terlalu bergantung pada satu maklumat (dijadikannya sebagai jangkar) lalu mengabaikan maklumat-maklumat lain. Kesan jangkar ini lebih kurang dengan bias pengesahan, tetapi kesan jangkar ini lebih tepat digambarkan sebagai “cerry pick”, iaitu apabila seseorang hanya memilih “bukti sokongan” yang disukainya sahaja, tidak berlaku adil kepada semua maklumat yang tersedia.
- Kesan ikut-ikutan (bandwagon effect): Samalah seperti namanya sendiri, iaitu sikap ikut-ikutan. Disebabkan ramai yang berbuat seperti itu, maka kita pun merasakan okey juga kalau kita buat perkara yang sama.
Seni membaca yang hilang
Membaca dengan mendalam (deep reading) adalah salah satu seni membaca yang semakin hilang dalam kalangan masyarakat kita, apatah lagi pengguna-pengguna media sosial.
Algoritma itu sendiri menyajikan kandungan-kandungan yang mengutamakan “kecepatan”. Jadi, kita sudah terbiasa dengan menikmati kandungan media sosial secara rapid.
Terdapat satu artikel menarik membahaskan bagaimana sastera dapat membantu kita membaca dengan mendalam. Judulnya, The Lost Art of Deep Reading: How Literature Teaches Us to Think, Feel, and Understand.
Kata penulis, sastera tidak boleh dibaca secara tergesa-gesa.
Yet, true literature cannot be rushed. It asks us to slow down, wrestle with meaning, and engage deeply with ideas, characters, and moral dilemmas. It challenges us, expands our perspectives, and leaves us changed.
This post is not about reading more — but about reading better. Because the best books do more than tell stories; they sharpen the mind, deepen the heart, and awaken the soul.
Dalam dunia yang penuh dengan gangguan, membaca secara mendalam telah menjadi satu seni yang sangat langka. Tetapi, sekiranya anda melatih diri untuk membaca dengan mendalam, saya jamin, anda akan memperoleh satu jenis kenikmatan yang luar biasa.
Nanti, jadilah seperti saya, ketagih dengan membaca!
Penulis mengakhirkan artikelnya dengan menyatakan:
The best books change us. They shape our thoughts, refine our character, and awaken our sense of wonder. They teach us to look beyond the obvious, the immediate, the convenient — and instead seek truth, wisdom, and meaning.
Deep reading isn’t just about books — it’s about becoming the kind of person who listens, reflects, and seeks truth in a world that rushes past it.
Akhir
Ada sarjana yang mempopularkan istilah online disinhibition effect yang memerikan bagaimana sesetengah manusia lebih suka berkomunikasi menerusi media sosial berbanding bersemuka.
Ini secara tidak langsung menjawab persoalan kenapa sesetengah netizen begitu berani mengecam orang lain di media sosial tanpa batas. Yalah, di media sosial, kita tidak akan mengenalinya siapa, maka lebih beranilah dia untuk “lepas cakap”, apatah lagi yang pakai akaun palsu.
Tetapi, saya fikir, lebih baik kita memperbaiki sikap kita tidak kiralah di media sosial atau di luarnya. Ini kerana hal yang paling penting ialah kita jujur kepada diri kita sendiri. Kalau tidak tahu, katakan tidak tahu, usahalah untuk mencari tahu, jangan pula pergi mengecam-ngecam orang lain di media sosial.
Asasnya, banyak-banyakkan membaca. Bangsa ini akan lebih maju dengan ilmu.
메타데이터
- post_id
- 235e77e8b3e6
- slug
- komen-sebelum-baca-kajian-kajian-ini-membongkar-sikap-pengguna-media-sosial-235e77e8b3e6
- url
- https://medium.com/@sadiqsalihoddin/komen-sebelum-baca-kajian-kajian-ini-membongkar-sikap-pengguna-media-sosial-235e77e8b3e6
- canonical_url
- https://medium.com/@sadiqsalihoddin/komen-sebelum-baca-kajian-kajian-ini-membongkar-sikap-pengguna-media-sosial-235e77e8b3e6
- author_url
- https://medium.com/@sadiqsalihoddin
- status
- ok
- fetched_at
- 2026-06-25 12:15:08