Cabaran dalam membanteras “Rasuah”
Rasuah merupakan perbuatan menyalahgunakan kuasa atau kedudukan untuk memperoleh keuntungan peribadi melalui pemberian atau penerimaan…
Cabaran dalam membanteras “Rasuah”
Rasuah merupakan perbuatan menyalahgunakan kuasa atau kedudukan untuk memperoleh keuntungan peribadi melalui pemberian atau penerimaan suapan seperti wang, hadiah atau layanan tertentu. Amalan ini bukan sahaja menjejaskan integriti individu, malah turut melemahkan sistem pentadbiran serta menjejaskan pembangunan negara. Dalam usaha membanteras rasuah dalam masyarakat, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu dihadapi seperti kurangnya kesedaran masyarakat, kelemahan penguatkuasaan, budaya patronage serta kekurangan ketelusan dalam pentadbiran.
Salah satu cabaran utama ialah kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kesan buruk rasuah. Sebahagian individu masih menganggap pemberian duit kopi sebagai perkara biasa bagi mempercepatkan sesuatu urusan dan telah dinormalisasikan dalam budaya kita pada era ini. Bagi mengatasi isu ini, pendidikan berkaitan integriti dan anti-rasuah perlu diterapkan sejak peringkat sekolah melalui kurikulum seperti Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam. Langkah ini penting kerana pendidikan awal mampu membentuk nilai kejujuran dan sikap menolak rasuah dalam kalangan generasi muda. Selain itu, kempen kesedaran melalui media sosial juga boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa rasuah merupakan satu jenayah serius yang memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.
Cabaran seterusnya ialah kelemahan dalam aspek penguatkuasaan undang-undang. Kekangan sumber serta kemungkinan campur tangan pihak tertentu boleh menjejaskan keberkesanan siasatan. Oleh itu, agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan autonomi yang lebih kukuh serta dilengkapi dengan teknologi forensik digital bagi mengesan aktiviti yang tidak beretika seperti mengesan transaksi kewangan yang mencurigakan. Langkah ini penting bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan tanpa pilih kasih sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.
Di samping itu, budaya patronage seperti kronisme dan nepotisme turut menjadi cabaran dalam usaha membanteras rasuah. Bagi menanganinya, pelaksanaan undang-undang berkaitan pendanaan politik serta pengisytiharan aset oleh pemimpin perlu diperketatkan. Langkah ini dapat mengurangkan konflik kepentingan dan memastikan keputusan yang dibuat lebih berasaskan merit serta kepentingan awam. Selain itu, peningkatan ketelusan dalam proses perolehan kerajaan melalui sistem tender terbuka juga perlu dilaksanakan. Tindakan ini dapat mengurangkan peluang penyalahgunaan kuasa serta memastikan penggunaan dana awam dilakukan secara lebih berhemah dan bertanggungjawab.
Kesimpulannya, rasuah merupakan ancaman serius yang boleh menjejaskan kestabilan dan pembangunan negara. Oleh itu, usaha membanteras rasuah memerlukan kerjasama semua pihak melalui pendidikan, penguatkuasaan yang tegas serta peningkatan ketelusan dalam pentadbiran bagi memastikan integriti masyarakat terus terpelihara.
메타데이터
- post_id
- 2ada275cd330
- slug
- cabaran-dalam-membanteras-rasuah-2ada275cd330
- url
- https://medium.com/@g-ipgp251405288/cabaran-dalam-membanteras-rasuah-2ada275cd330
- canonical_url
- https://medium.com/@g-ipgp251405288/cabaran-dalam-membanteras-rasuah-2ada275cd330
- author_url
- https://medium.com/@g-ipgp251405288
- status
- ok
- fetched_at
- 2026-07-13 10:11:35