← Back to list

Sisi Gelap (Darkside) Sejarah Khilafah Islam

Amaran/Peringatan: Penulisan ini membincangkan beberapa realiti dan peristiwa pahit yang berlaku dalam lembaran sejarah umat Islam…

Kucinghutan · 2026-05-17 03:11 · 0 claps · 3.1 min read
#sejarah-islam
Open on Medium ↗
Wiki topics: 🕊️ · Religion

Sisi Gelap (Darkside) Sejarah Khilafah Islam

Buku “Alfu Sanatin” (Seribu Tahun) 1&2 karangan Ustaz Ibnu Rijal. Banyak pengajaran dan hikmah yang boleh diambil dari karangan beliau. Bagi mengelakkan kekeliruan, buku ini bukan hanya menceritakan sisi gelap, buku ini menceritakan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam garis masa dari Khalifah Uthman sehingga ke Khilafah Uthmaniyyah termasuklah peristiwa gembira dan peristiwa pahit.

Buku “Alfu Sanatin” (Seribu Tahun) 1&2 karangan Ustaz Ibnu Rijal. Banyak pengajaran dan hikmah yang boleh diambil dari karangan beliau. Bagi mengelakkan kekeliruan, buku ini bukan hanya menceritakan sisi gelap, buku ini menceritakan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam garis masa dari Khalifah Uthman sehingga ke Khilafah Uthmaniyyah termasuklah peristiwa gembira dan peristiwa pahit.

Amaran/Peringatan: Penulisan ini membincangkan beberapa realiti dan peristiwa pahit yang berlaku dalam lembaran sejarah umat Islam terdahulu. Ia mungkin tidak selesa untuk dibaca oleh sesetengah orang.

Apabila menyebut sejarah Islam, kebanyakan kita mungkin akan membayangkan sebuah zaman di mana rakyatnya hidup dengan aman dan makmur, ditemani dengan kemajuan pemikiran dan kemudahan, pemerintahan yang bertunjangkan syariat Islam yang adil dan seumpamanya. Mana tidaknya, zaman ini boleh dikatakan sinonim dengan gelaran “Zaman Keemasan Islam”. Pada zaman keemasan inilah munculnya nama-nama tokoh yang terkenal daripada para ilmuwan sains, pemikir falsafah sehinggalah kepada imam empat mazhab yang sangat masyhur.

Walaupun sebenarnya terdapat banyak kerajaan Islam lain yang hidup sezaman dengan khilafah ini, secara umumnya apabila menyebut khilafah Islam kita akan sinonim dengan nama khilafah Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap daripada khilafah ini mempunyai banyak sumbangan terhadap perkembangan dunia Islam. Namun, setiap khilafah ini juga mempunyai kisah tersendiri yang tidak enak untuk diamati tetapi perlu, supaya dapat diambil sebagai pengajaran. Penulisan ini akan mengambil satu peristiwa sahaja untuk setiap khilafah sebagai contoh kepada pembaca.

Era Khilafah Umayyah — Pertempuran Harrah di Mekah dan Madinah

Selepas berlakunya peristiwa pembunuhan Saidina Husin R.A, penduduk Madinah mula mengancam dan memboikot kaum kerabat Bani Umayyah yang tinggal di Madinah. Terdapat juga yang mengatakan penduduk Madinah tidak menyokong Yazid bin Muawiyah menjadi seorang Khalifah. Khalifah Yazid menghantar Muslim bin Uqbah, seorang Jeneral yang merupakan penyokong tegar kerajaan Umayyah untuk menyelesaikan perkara tersebut. Dipendekkan cerita, tentera Ummayyah yang dipimpin oleh Jeneral ini telah membunuh penduduk Madinah, merogol para wanita, membakar dan menjarah rumah-rumah di kota Madinah. Salah sebuah tempat yang suci bagi orang Islam, telah dicemari oleh orang Islam sendiri.

Kemudian pasukan tentera ini bergerak pula menuju ke Mekah untuk menundukkan penentangan penduduk di sana. Abdullah bin Zubair telah bersedia untuk bertempur dengan pasukan ini kerana telah menerima berita tentang apa yang berlaku di Madinah. Sebelum berlakunya pertempuran, Jeneral Muslim bin Uqbah telah meninggal dunia terlebih dahulu dan pimpinan pasukan tentera Umayyah ini telah digantikan oleh timbalannya. Pasukan ini tidak berjaya menembusi pertahanan pasukan Abdullah bin Zubair. Justeru mereka mengepung Mekah dan melontarkan menjanik (catapult) sehingga menyebabkan terbakarnya Kaabah.

Era Khilafah Abbasiyah — Peristiwa Jamuan Berdarah Abbasiyah (Abbasid Banquet of Blood)

Semasa peringkat awal peralihan pemerintahan daripada bani Umayyah kepada bani Abbasiyyah, ataupun lebih tepat disebut sebagai penggulingan kuasa di mana peralihan tersebut tidak lari daripada pertumpahan darah; Khalifah pertama bani Abbasiyah, Abu al-Abbas al-Saffah telah menjemput semua kerabat bani Umayyah untuk hadir ke sebuah majlis makan malam. Para tetamu dihidangkan dengan jamuan yang mewah untuk dinikmati mereka. Namun setelah mereka (kerabat bani Umayyah) leka, para tentera Abbasiyah telah mengunci pintu istana dan mula membunuh kesemua yang hadir (ada yang menyebut seramai 80 orang) kecuali seorang sahaja yang terselamat iaitu Abdul Rahman al-Dakhil. Beliau dikatakan tidak hadir jamuan tersebut, melarikan diri ke Andalusia dan memulakan Daulah Umayyah kedua. Selepas peristiwa ini, Abu al-Abbas mendapat gelaran “al-Saffah” yang bermaksud penumpah darah.

Era khilafah Uthmaniyyah — Penentangan Janissari

Tentera Uthmaniyyah telah menghadapi kekalahan dalam peperangan Uthmaniyyah-Safawiyyah 1578–1590. Susulan kekalahan ini, Sultan Osman II (1618–1622) ingin merombak sistem ketenteraan bagi menambahbaik kecekapan angkatan bersenjata Uthmaniyyah. Namun rombakan ini ditentang oleh Janissari. Janissari merupakan pasukan elit tentera darat dalam Empayar Uthmaniyah. Pasukan ini dahulunya merupakan tunjang kekuatan tentera Uthmaniyyah namun kini menjadi semakin korup dan liabiliti kepada empayar. Penentangan ini bukan sekadar pasukan tersebut menyuarakan ketidaksetujuan malah mereka telah melancarkan pemberontakan, menangkap dan kemudian membunuh Sultan Osman II. Peristiwa ini menjadikan sultan pertama dalam sejarah Uthmaniyyah yang dibunuh oleh tenteranya sendiri.

Kesimpulan

Di atas adalah beberapa contoh peristiwa “gelap” yang berlaku sepanjang zaman khilafah Islam. Sudah tentu terdapat beberapa peristiwa lain yang tidak mungkin dapat dimuatkan kesemuanya di sini. Penting untuk dijelaskan bahawa penulisan ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan agama Islam apatah lagi menghina agama yang mulia ini. Islam adalah sebuah agama yang sentiasa mengajar dan menyeru kepada kebaikan. Namun, penganutnya juga adalah manusia yang tidak lari daripada kesilapan. Kenyataan tersebut bukanlah juga untuk membenarkan tindakan buruk mereka. Ringkasnya, apa yang berlaku dalam sejarah, termasuklah baik dan buruknya hendaklah diambil untuk dijadikan sebagai pengajaran bagi masa sekarang dan masa hadapan.

Antara senarai rujukan:

https://youtu.be/CYEDaj8N2RI?si=NC0OanZoOrme7elOUst Ibnu Rijal Sembang Dari Penulis Buku Ke Penulis Skrip, Israel VS Palestin, Akhir Zaman — EP: 79 [YouCast]

https://youtu.be/CYEDaj8N2RI?si=NC0OanZoOrme7elOUst Ibnu Rijal Sembang Hakikat Darkside Sejarah Islam — EP: 152 [YouCast]

https://youtu.be/EGpT4aOm3Ng?si=M7E3woAWy70HtIegTak Perlu Romanticise Sejarah Islam [ML Studios}

Ibnu Rijal, Alfu Sanatin I, terbitan Karya Bestari sdn. bhd. Cetakan ke-9 [2025]

Ibnu Rijal, Alfu Sanatin II, Cetakan ke-2 [2025]

Ayman Rashdan Wong, Adikuasa: Merebut Orde Dunia, terbitan Patriots Asia sdn. bhd. [2025]


메타데이터
post_id
523f486c1537
slug
sisi-gelap-darkside-sejarah-khilafah-islam-523f486c1537
url
https://medium.com/@kucinghutan9410/sisi-gelap-darkside-sejarah-khilafah-islam-523f486c1537
canonical_url
https://medium.com/@kucinghutan9410/sisi-gelap-darkside-sejarah-khilafah-islam-523f486c1537
author_url
https://medium.com/@kucinghutan9410
status
ok
fetched_at
2026-06-24 23:31:39