← Back to list

Baliʿu al-Arḍ (Yang Ditelan Bumi)

“Ya Allah sesungguhnya tiada siapa yang dapat menyampaikan salamku kepada Rasulullah. Maka Engkau sampaikanlah salamku kepada Rasulullah.”

Irfan Sukri · 2025-06-15 21:21 · 0 claps · 1.9 min read
#sıra #sirah-nabawiiyah
Open on Medium ↗

Baliʿu al-Arḍ (Yang Ditelan Bumi)

Pada tahun ke-4 hijrah, Nabi S.A.W telah mengutus sebuah utusan yang dinamakan Utusan ʿAaṣim Bin Thabit berjumlah 10 orang yang terpilih dari kalangan sahabat. Apabila mereka sampai di suatu tempat yang diberi nama ar-Raajiʿ sekitar 2 Marhalah dari Makkah, mereka dikhianati oleh Bani Liḥyan.

Terbunuhlah ʿAaṣim bersama 7 anggota yang lain dan diantara mereka Khubayb Bin ʿAdiy. Ketika beliau disalib, beliau menyaʿirkan beberapa bait yang bermaksud:

“Maka tidaklah aku peduli jika aku dibunuh dalam keadaanku islam. Bagaimana cara sekalipun aku dibunuh, hanya kerana Allahlah kematianku. Dan yang demikian itu pada kehendak Allah jua, dan sekiranya Dia kehendak akan Dia berkati meskipun atas potongan-potongan anggotaku yang dicerai-beraikan”.

Kata-kata beliau menunjukkan akan ketersediaannya terhadap kematian bersama penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah, meski dengan apa cara sekalipun, semuanya tergantung kehendakNya. Kembali pada tajuk penulisan ini, dari manakah datangnya gelaran ‘Yang Ditelan Bumi’ ini? Ayuhlah kita hayati kisahnya dahulu.

Saat mereka hendak membunuhnya, Khubayb meminta agar ditinggalkannya sementara untuk menunaikan solat dua rakaat. Setelah usai menunaikan solat, beliau berkata:

(( “Seandainya kamu tidak mengira bahawa aku ini keresahan, maka akan aku tambahkan lagi (solatku)” )).

Dengan makna beliau tidaklah mahu menambah (solatnya) hanya kerana ingin menunjukkan kesediaan beliau menyambut kematian seperti di dalam makna syaʿir yang telah dikisahkan tadi. Tidak lama selepas itu, beliau berdoʿa:

((“Ya Allah hitunglah mereka dan bunuhlah mereka seorang demi seorang dan jangan kau tinggalkan seorang pun dari mereka.”)).

Berkat doa beliau yang ikhlas keranaNya, mereka dibunuh di dalam perang Khandaq seorang demi seorang. Ketika beliau disalib juga, beliau sempat merayu dan berdoʿa yang bermaksud:

((“Ya Allah sesungguhnya tiada siapa yang dapat menyampaikan salamku kepada Rasulullah. Maka Engkau sampaikanlah salamku kepada Rasulullah. Dan sampaikan juga khabar perlakuan mereka terhadap kami kepada Rasulullah.”))

Dari pengkhabaran Usaamah bin Zayd, ketikamana Rasulullah duduk bersama para sahabat dalam keadaan baginda seperti biasanya saat diturunkan wahyu, kami mendengar beliau berkata:

((“Wa ʿAlayhi as-Salam Wa Raḥmatullahi Wa Barakaatuh’’)).

Setelah selesai, baginda bersabda yang bermaksud:

((“Ia adalah Jibril menyampaikan salam dari Khubayb, Khubayb telah dibunuh oleh Kaum Quraysh.”))

Berkata lagi Rasulullah kepada para sahabat yang bermaksud:

((“Siapakah dari kalian yang akan membawakan jasad khubaib dari tempat penyalibannya dan baginya juga ganjaran syurga?”))

Maka keluarlah az-Zubayr bin al-ʿAwwam bersama al-Miqdad menuju Khubayb, hinggalah saat ketika az-Zubayr sedang membawanya di atas kuda, kaum kuffar menyerang mereka lalu mengejar dari belakang. Tatkala kejaran mereka melelahkan az-Zubayr, terlepaslah jasad Khubayb dari pangkuannya. Oleh kerana itu, jasadnya kemudian ditelan bumi demi menjaganya dari tangan kaum kuffaar yang sering mengolok-olok jasad muslim yang dibunuh mereka. Maka Khubayb mendapat gelaran “Baliʿu al-Arḍ” yang bermaksud “Yang Ditelan Bumi” kerana peristiwa ini.

Sekian, Wallahu ʿAlam.


메타데이터
post_id
63ca38ef7ed2
slug
baliʿu-al-arḍ-yang-ditelan-bumi-63ca38ef7ed2
url
https://medium.com/@erfansukri/bali%CA%BFu-al-ar%E1%B8%8D-yang-ditelan-bumi-63ca38ef7ed2
canonical_url
https://medium.com/@erfansukri/bali%CA%BFu-al-ar%E1%B8%8D-yang-ditelan-bumi-63ca38ef7ed2
author_url
https://medium.com/@erfansukri
status
ok
fetched_at
2026-07-19 10:57:29