KISAH PERDAGANGAN RASULULLAH KE KOTA SYAM
Jika bicara seumpama perak, maka diam adalah emas. Barangsiapa yang banyak berbicara, maka banyak pula kesalahannya. Diam ibarat…
KISAH PERDAGANGAN RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM KE KOTA SYAM
Diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam telah menceburi bidang perdagangan sebelum tersebarnya agama Islam. Pada hari Fathu Mekah (pembukaan kota Mekah), As-Sa’ib datang kepada Baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, “Selamat datang wahai saudaraku dan rakan dagangku, yang tidak pernah mendebat dan membantah.”

Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berumur 25 tahun, Abu Thalib berkata kepada Baginda, “Aku tidak memiliki harta, dan kehidupan kita semakin sukar. Ini adalah rombongan kaummu yang akan berangkat menuju ke kota Syam. Khadijah binti Khuwailid menghantar beberapa orang daripada kaummu untuk membawa barang dagangannya. Jika engkau datang kepadanya dan menawarkan diri untuk membawa barang itu, dia pasti akan memilihmu.”
Khadijah binti Khuwailid ialah seorang saudagar perempuan yang mulia dan kaya-raya. Beliau radhiyallahu ‘anha mengupah kaum lelaki untuk mengembangkan hartanya melalui perkongsian keuntungan. Orang Quraisy sememangnya berjiwa perniagaan.
Pada suatu hari, Khadijah radhiyallahu ‘anha mendengar perkhabaran tentang pemuda bernama Muhammad yang terkenal jujur dalam tutur kata, amanah, dan berakhlak mulia. Beliau pun mengutuskan seseorang untuk menawarkan kerjasama kepada Baginda. Muhammad perlu memasarkan barang-barang dagangan Khadijah ke kota Syam, lalu Baginda akan diberikan ganjaran yang lebih besar daripada apa yang diperoleh oleh pedagang lain.
Khadijah radhiyallahu ‘anha mengutuskan pesanan tentang perkara tersebut kepada Baginda seraya berkata, “Aku akan memberikan kamu bahagian yang lebih daripada apa yang aku berikan kepada orang lain.”
Abu Thalib berkata, “Ini adalah rezeki yang Allah amanahkan kepadamu.”
Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam berangkat bersama pembantu Khadijah, iaitu Maisarah. Bapa-bapa saudara Baginda berpesan kepada rombongan untuk menjaga Baginda. Ketika mereka tiba di Bushra, sebuah daerah di kota Syam, Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam berteduh di bawah sebatang pokok.
Ketika itu, seorang rahib yang bernama Nasthura yang melihat kejadian tersebut segera mendatangi Maisarah dan bertanya, “Siapakah lelaki yang bernaung di bawah pokok itu?”
Maisarah menjawab, “Beliau ialah lelaki Quraisy, penduduk Tanah Haram.”
Rahib tersebut lantas berkata, “Tidak ada yang bernaung di bawah pokok itu melainkan seorang Nabi.”
Dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa Nasthura bertanya kepada Maisarah, “Adakah pada kedua-dua matanya ada warna merah yang kekal?”
“Ya,” jawab Maisarah.
Nasthura lalu berkata, “Beliau ialah Nabi, iaitu penutup para Nabi.”
Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam kemudiannya menjual barang dagangan tersebut. Ramai juga yang tertarik untuk membelinya. Akan tetapi, berlaku sedikit perselisihan antara Baginda dengan seorang pembeli. “Bersumpahlah dengan nama Lata dan Uzza,” ucap pembeli itu.
Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepadanya, “Aku tidak pernah bersumpah dengan kedua-duanya. Walaupun aku pernah disuruh berbuat demikian, namun aku tidak pernah mengendahkannya.”
“Terpulanglah kepada kehendakmu,” ujar pembeli itu. Lalu, di tempat yang lain dia berkata kepada Maisarah, “Demi Allah, beliau ialah Nabi yang dikenali oleh pendeta-pendeta kami, yang disebutkan sifat-sifatnya di dalam kitab kami.”
Setelah selesai urusan dagangnya, Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam pun pulang ke kota Mekah bersama-sama Maisarah. Ketika rombongan meneruskan perjalanan dan cuaca menjadi semakin terik, Maisarah melihat dua malaikat yang melindungi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam daripada sengatan matahari (yang dimaksudkan mungkin merupakan awan yang sentiasa menaungi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam). Maisarah tercengang melihat semua itu. Mereka telah menjual barang dagangan mereka dan mendapat keuntungan yang berlipat ganda berbanding kebiasaan.
Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam sampai di Mekah pada waktu siang, manakala Khadijah pula sedang berada di bilik tingkat atasnya. Beliau melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam di atas tunggangan Baginda dan ada dua malaikat yang memayungi Baginda. Khadijah radhiyallahu ‘anha menunjukkan peristiwa itu kepada pembantu-pembantunya. Mereka berasa hairan melihat kejadian tersebut.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tiba di rumah Khadijah dan memaklumkan kepadanya tentang keuntungan yang telah mereka peroleh di hadapan mereka semua. Khadijah radhiyallahu ‘anha berasa amat gembira dengan perkhabaran itu.
Ketika Maisarah menemuinya, Khadijah menceritakan kepadanya tentang apa yang telah dilihatnya. Maisarah berkata, “Aku juga telah melihat perkara yang sama ketika dalam perjalanan pulang dari kota Syam.” Maisarah turut menceritakan kepada Khadijah tentang apa yang dikatakan oleh rahib Nasthura dan tentang pembeli yang menyuruh Baginda bersumpah tadi.
Wallahu A’lam
메타데이터
- post_id
- 849afae5dcdc
- slug
- kisah-perdagangan-rasulullah-ke-kota-syam-849afae5dcdc
- url
- https://medium.com/@ibnialhayat94/kisah-perdagangan-rasulullah-ke-kota-syam-849afae5dcdc
- canonical_url
- https://medium.com/@ibnialhayat94/kisah-perdagangan-rasulullah-ke-kota-syam-849afae5dcdc
- author_url
- https://medium.com/@ibnialhayat94
- status
- ok
- fetched_at
- 2026-07-09 21:48:21