← Back to list

Solat Raghaib: Antara Bidaah dan Anjuran — Satu Tinjauan Hukum Mengikut Empat Mazhab

Solat ini biasanya dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, sebanyak 12 rakaat, dan pada malam Nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat di…

Alif Omar · 2026-02-05 18:07 · 0 claps · 3.5 min read
#fiqh #sunnah #bidaah #sola-ts
Open on Medium ↗
Wiki topics: RAG · RAG & Retrieval SAF · Safety & Alignment

Solat Raghaib: Antara Bidaah dan Anjuran — Satu Tinjauan Hukum Mengikut Empat Mazhab

Solat ini biasanya dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, sebanyak 12 rakaat, dan pada malam Nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat di antara waktu Maghrib dan Isyak. Namun, apakah status sebenar solat ini di sisi para ulama muktabar? Adakah ia satu sunnah yang dituntut atau satu rekaan (bidaah) yang perlu dijauhi?

Artikel ini akan menelusuri pandangan ulama daripada empat mazhab berdasarkan teks-teks klasik turath.

Pandangan Pertama: Ia Adalah Bidaah (Pendapat Majoriti)

Sebahagian besar fuqaha daripada keempat-empat mazhab bersepakat bahawa Solat Raghaib adalah satu bidaah.

1. Mazhab Syafi’i

Tokoh besar Mazhab Syafi’i seperti Imam Al-Nawawi memberikan kritikan yang sangat keras.

Dalam fatwanya, Imam Al-Nawawi menegaskan:

“Ia adalah bidaah yang keji dan mungkar, serta wajar diingkari dengan sekeras-kerasnya. Ia mengandungi perkara-perkara mungkar, maka wajib meninggalkannya… Janganlah terpedaya dengan ramainya orang yang melakukannya di pelbagai negeri, dan jangan terpedaya dengan penyebutannya dalam kitab Qut al-Qulub dan Ihya’ Ulumuddin, kerana ia adalah bidaah yang batil.” [1]

Beliau mengulangi pendirian ini dalam kitab agungnya, Al-Majmu’, dengan menyatakan bahawa hadis berkaitan Solat Raghaib dan Solat Nisfu Syaaban (solat 100 rakaat) adalah batil dan tidak boleh dijadikan sandaran.[2]

Pandangan ini turut disokong oleh Ibn Hajar Al-Haytami yang menyifatkan kedua-dua solat ini sebagai “bidaah yang keji dan tercela” serta hadisnya adalah palsu (maudhuk).[3] Tokoh kontemporari, Dr. Wahbah Al-Zuhaili, juga berpegang bahawa solat ini bidaah dan makruh berkumpul untuk melakukannya.[4]

2. Mazhab Hanafi

Dalam mazhab Hanafi, Ibn Abidin menyatakan dalam Radd al-Muhtar:

“Dari sini diketahui makruhnya berkumpul untuk melaksanakan Solat Raghaib yang dilakukan pada Jumaat pertama bulan Rejab, dan bahawasanya ia adalah bidaah.” [5]

3. Mazhab Maliki

Ulama Maliki seperti Ibn al-Haj dalam kitabnya Al-Madkhal menyenaraikan solat ini sebagai salah satu bidaah yang diada-adakan. Beliau turut mengkritik budaya yang timbul bersamanya, seperti percampuran lelaki dan wanita serta pembaziran melalui penyalaan lilin-lilin secara berlebihan di masjid.[6]

4. Mazhab Hanbali

Dalam Hasyiyah al-Rawdh al-Murbi’, disebutkan bahawa Solat Raghaib adalah bidaah yang tiada asalnya. Nabi SAW dan para salaf tidak pernah melakukannya. Malah, dinyatakan bahawa hadis mengenainya adalah dusta dan palsu dengan kesepakatan ulama.[7]

Pandangan Kedua: Ia Diharuskan atau Disunatkan

Walaupun majoriti menolak, terdapat sekelompok ulama yang melihat sisi pandang yang berbeza, membenarkan pelaksanaannya atas hujah-hujah tertentu.

1. Hujah Imam Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin mengkategorikan solat ini sebagai mustahab (disunatkan). Beliau berkata:

“Ini adalah solat yang disunatkan… Walaupun martabatnya tidak menyamai Solat Tarawih atau Solat Raya (kerana ia dinukilkan secara Ahad), namun aku melihat penduduk Baitulmaqdis kesemuanya tekun melakukannya dan tidak meninggalkannya, maka aku suka untuk memuatkannya (dalam kitab ini).” [8]

Al-Ghazali berdalilkan sebuah hadis mengenai kelebihan berpuasa pada Khamis pertama Rejab dan diikuti dengan solat 12 rakaat.

2. Pendekatan Ibn al-Salah

Imam Ibn al-Salah mengambil pendekatan yang lebih unik. Walaupun beliau bersetuju bahawa hadis khusus mengenai Solat Raghaib itu lemah atau palsu, beliau tidak menghukum solat itu sebagai batal atau haram.

Hujahnya adalah berdasarkan “Mutlaq al-Amr” (Suruhan Umum). Menurut beliau:

“Tidak semestinya apabila hadis itu lemah, maka Solat Raghaib itu batal… kerana ia termasuk di bawah suruhan umum dalam Al-Quran dan Sunnah mengenai solat sunat mutlak. Maka ia disunatkan berdasarkan umum nas-nas syarak yang banyak menganjurkan solat sunat secara mutlak.” [9]

Pandangan Yang Rajih

Melalui penelitian dalil dan penilaian institusi fatwa moden, timbangan hukum cenderung kepada pandangan bahawa solat ini adalah bidaah yang perlu ditinggalkan.

Di Malaysia, badan-badan autoriti agama dan tokoh ilmuwan secara konsisten memilih pandangan yang mengatakan Solat Raghaib adalah bidaah. Ini selaras dengan usaha memurnikan ibadah daripada amalan yang tidak bersumberkan dalil yang sahih.

  • Jabatan Mufti Negeri Perlis: Dalam penjelasan hukumnya, secara tegas merajihkan bahawa solat ini adalah bidaah.[10]
  • Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan: Dalam siri Irsyad al-Hadith berkaitan kelebihan malam Nisfu Syaaban, turut cenderung menyifatkan solat-solat khusus sebegini (termasuk Raghaib) sebagai rekaan.[11]
  • Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Mantan Mufti Wilayah dan Menteri Agama ini turut bersetuju dengan pandangan majoriti ulama yang mengkategorikannya sebagai bidaah.[12]

Di peringkat antarabangsa, laman fatwa terkemuka seperti Islamweb turut berpegang kepada pendapat ini.[13]

Disediakan oleh: Muhammad Alif Bin Omar (1231086) & Muhammad Aqil Fitri Bin Azhan (1231204) — Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM

Rujukan

[1] Muhyiddin Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Al-Masā’il al-Manthūrah (Beirut: Dar al-Basha’ir al-Islamiyyah, 1996), 57.

[2] Muhyiddin Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah), 4/56.

[3] Ahmad bin Hajar al-Haytami, Al-Fatāwā al-Kubrā al-Fiqhiyyah, 1/217.

[4] Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuhū (Dimasyq: Dar al-Fikr), 2/1064.

[5] Ibn Abidin, Ḥāshiyah Radd al-Muḥtār ‘alā al-Durr al-Mukhtār (Mesir: Mustafa al-Babi al-Halabi, 1966), 2/26.

[6] Ibn al-Haj al-Maliki, Al-Madkhal (Dar al-Turath), 1/293.

[7] Ibn Qasim al-Hanbali, Ḥāshiyah al-Rawḍ al-Murbi’, 2/223.

[8] Al-Ghazali, Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn (Beirut: Dar al-Ma’rifah), 1/203.

[9] Ibn al-Salah, Al-Radd ‘alā al-Targhīb ‘an Ṣalāt al-Raghā’ib (Al-Maktabah al-Islami, 1405H), 16.

[10] Mohd Asri bin Zainul Abidin, “Solat Khas Malam Jumaat Pertama Rejab / Raghaib”, Jabatan Mufti Negeri Perlis, 10 Mac 2020.

[11] Muhammad Mushfique bin Ahmad Ayoub, “Irsyad al-Hadith Siri ke-70: Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban”, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 20 Mei 2016.

[12] Zulkifli Mohamad Al-Bakri, “#687 Solat Sunat al-Ragha’ib”, ZulkifliAlBakri.com, 16 Mac 2022.

[13] Islamweb, “Solat Raghaib: Waktu dan Hukumnya”, Fatwa №24003, 19 Oktober 2002.


메타데이터
post_id
a9c293faaa51
slug
solat-raghaib-antara-bidaah-dan-anjuran-satu-tinjauan-hukum-mengikut-empat-mazhab-a9c293faaa51
url
https://medium.com/@alifomar2727/solat-raghaib-antara-bidaah-dan-anjuran-satu-tinjauan-hukum-mengikut-empat-mazhab-a9c293faaa51
canonical_url
https://medium.com/@alifomar2727/solat-raghaib-antara-bidaah-dan-anjuran-satu-tinjauan-hukum-mengikut-empat-mazhab-a9c293faaa51
author_url
https://medium.com/@alifomar2727
status
ok
fetched_at
2026-06-24 04:09:36